Bagaimana Kami Mengumpul Buku

Gambar contoh - credit to peterharrington.co.uk

Gambar contoh – credit to peterharrington.co.uk


Oleh : Dari status Facebook Puan Nor Azzah

Beberapa kali kami (saya atau suami) ditanyakan, bagaimana kami mengumpul bahan bacaan sebanyak ini (hampir 2500 naskah buku dan beberapa ratus majalah). Ada yang bertanya, koleksi ini kami ambil dari perpustakaan mana? Dah baca ke, semua buku-buku ini atau kumpul saja? Buku bertajuk sekian-sekian ada ke? Dan pelbagai pertanyaan lagi.

Pertanyaan-pertanyaan ini menggambarkan persepsi masing-masing terhadap Koleksi Buku di rumah kami yang kami namakannya Koleksi Peribadi Zamri dan Nor Azzah.

Biarlah saya kongsikan jawapan-jawapan dan penjelasannya di sini. Moga jelas dan ia menjadi panduan kepada yang ingin mempunyai perpustakaan sendiri di rumah.

Proses membangunkan perpustakaan peribadi ini bukan berjalan sehari dua, atau sebulan dua dan bukan juga setahun dua. Ia memakan masa lebih 20 tahun, sejak kami belum diijabkabulkan. Bermula sejak zaman kami belajar mengenal erti budaya ilmu yang ditanamkan di universiti tempat kami menimba ilmu dan budi.

Pembelian bahan bacaan dibuat seiring usia yang dilalui. Allah takdirkan kami lahir di tahun yang sama, belajar di universiti yang sama, jadi sebahagian buku yang dimiliki, bila digabungkan selepas kami disatukan atas ijab dan kabul yang sah; juga sama. Terasa manis di situ. Tidak hairanlah kalau kami boleh bicara dengan lenggok yang sama pada kebanyakan isu.

Namun, ada banyak juga bahan bacaan yang tidak sama dan sangat berbeza dengan minat kami masing-masing, kerana selain berlainan jantina (pastinya), bidang pengajian kami yang berbeza, dan minat serta hobi juga berbeza. Sekadar contoh, saya minat membaca novel, sedangkan suami meminati fakta.

Pemilihan dan pembelian bahan bacaan seterusnya (selepas bernikah) tetap dibuat mengikut minat masing-masing, walaupun begitu, sebahagian bahan bacaan dibeli dengan persetujuan bersama dengan menyetujui bahawa bahan tersebut perlu kami miliki sebagai bacaan dan rujukan kami dalam mendokong pelbagai tanggungjawab di rumah, di pejabat dan juga dalam masyarakat.

Pesta buku dan kedai buku merupakan antara tempat kunjungan dan lawatan wajib dalam acara santai bulanan dan tahunan untuk keluarga. Amalan ini kemudiannya turut diwarisi oleh anak-anak yang tentunya terdidik dengan suasana ini sejak masing-masing berada dalam kandungan lagi. Sering kali saya ceritakan kepada rakan-rakan, anak-anak kami tidak merajuk jika tidak dibelikan mainan, tetapi merajuk panjang jika tidak dibawa ke kedai buku dan dibenarkan membeli buku. Untungnya kami, kos membeli buku selalunya lebih murah berbanding kos membeli mainan kanak-kanak. Apatah lagi pada musim pesta buku, ada lelongan harga buku dan diskaun harga yang sangat berbaloi.

Seringkali suasana sunyi dalam kereta sewaktu perjalanan pulang ke rumah, kerana masing-masing asyik menguliti buku pilihan masing-masing, sebelum kemudiannya mereka tertidur dengan tangan masih memegang buku. Pemandangan yang indah di mata saya.

Jumlah pembelian bahan juga berjalan seiring waktu, jika di awal-awal tahun kami bekerja dahulu tidak banyak bahan yang dibeli, atas faktor kewangan dan faktor jumlah ahli keluarga yang masih kecil; kini setelah hampir 20 tahun, trend membeli semakin rancak dengan rezeki yang ditambah Ilahi serta kehendak dan keperluan anak-anak yang meningkat dewasa.

Seiring itu bentuk dan jenis serta jumlah rak buku turut berubah dan bertambah. Perkongsian tentang pemilihan rak ini akan dikongsikan dalam siri yang lain.

 

Comments

comments

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

This blog is kept spam free by WP-SpamFree.