Buku Bundle Rebutan Pelancong – Kedai Mashhor jual 6,000 judul dalam 18 bahasa

langkawi

Oleh Mohd Sharumnisham Shahbudin
Harian Metro

Bermula dengan 20 buku dan beroperasi di gerai kecil lima tahun lalu, kini Mashhor Salleh 48, berbangga dengan hasil penat lelahnya membangunkan perniagaan buku terpakai di Pulau Langkawi sudah mencecah hampir 6,000 buah buku.

Kedai Your Language Books Corner (YLBC) yang beroperasi di Pantai Chenang satu-satunya premis menjual buku terpakai di Malaysia yang menawarkan pelbagai buku dalam pilihan 18 bahasa utama dunia.

Buku yang ditawarkan  termasuk dalam bahasa Finland, Denmark, Sweden,Itali, Polland, Russia, Slovakia, Norway,Jepun dan Korea di samping Melayu dan Inggeris.

Kebanyakan pelancong asing singgah ke kedai ini untuk mencari buku dalam bahasa mereka sebagai peneman sewaktu bercuti di sini.

“Pelancong dari Eropah seperti Denmark, Norway, Sweden dan Finland terkenal dengan sikap suka membaca, jadi saya perlu dapatkan buku dalam bahasa mereka daripada pembekal.

Kami juga mengamalkan konsep pertukaran buku iaitu pelancong menukarkan dua buku mereka dan membawa pulang satu buku dari sini,” kata Mashhor.

Selain itu, YLBC turut membeli kembali buku daripada pelancong yang sudah selesai membaca dan ramai yang menderma ke premisnya sebelum pulang ke tanah air masing-masing.

lankawi
Suasana dalam kedai buku YLBC, Pantai Chenang Langkawi

Secara tidak lansung, premisnya menjadi lokasi pertukaran maklumat dan tarikan pelancongan di pulau lagenda itu. Biarpun  tertumpu kepada pelanggan dalam kalangan pelancong asing, Mashhor mampu menjual purata 50 buah buku sehari dan jika di luar musm percutian, masih dapat menjual sekitar 20 buku.

Kekerapan berurusan dengan pelancong asing menyebabkan Mashhor mampu menguasai asas bahasa daripada beberapa negara.

“Bahasa negara Scnadinavia seperti Sweden dan Finland seakan-akan sama bunyinya, tetapi jika diamati ia berbeza dari segi dialek,” kata bapa kepada dua anak itu.

Pelancong tempatan juga makin ramai menjadi pelanggan tetap beliau, terutama peminat novel hasil karya novelis terkenal dunia yang mudah diperolehi di sini.

Premis itu juga pernah dikunjungi pemimpin dan personaliti tempatan seperti mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan pengarah filem terkenal Mamat Khalid.

Selain jualan, YBLC turut mendermakan buku kepada perpustakaan sekitar Langkawi bagi memberi peluang kepada pelajar membaca tulisan dari luar yang berkualiti.

Mashhor merancang membesarkan perniagaannya dalam tempoh lima tahun dan bersedia mengadakan pameran di serata tempat bagi mempromosikan buku pelbagai bahasa kepada masyarakat.

SUMBER- Harian Metro
FOTO –
KOSMO

Comments

comments

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

This blog is kept spam free by WP-SpamFree.