Emas Para Dapunta dan Maharaja: Koleksi Catatan Cik Srikandi

historian

Nama Cik Srikandi cukup misteri dalam dunia sejarah ‘underground’ kerana beliau mewakili identiti yang tidak dikenali. Namun begitu, Cik Srikandi banyak membuat kajian-kajian peribadi, mengkaji prasasti dan manuskrip serta menyemak jurnal-jurnal oleh penyelidik luar bagi mendapatkan kefahaman sebenar tentang sejarah Melayu, khususnya di alam Melayu.

Emas Para Dapunta dan Maharaja: Koleksi Catatan Cik Srikandi merupakan buku kedua tulisan beliau yang merupakan koleksi catatan dalam blog Mistisfile, sebuah blog yang menghimpunkan beberapa pengkaji yang menulis dalam subjek sejarah. Menerusi tulisan-tulisannya, Cik Srikandi banyak mengajak pembaca melihat kembali kepentingan sejarah terhadap diri, bangsa dan negara. Menurutnya, “adalah penting untuk kita menjadi celik sejarah kerana terbukti dalam sejarah bahawa mereka yang memiliki pendidikan sejarah yang bagus adalah mereka yang berkarisma dan memiliki aura kepimpinan dan ketokohan yang hebat (hlm 3)”. Beliau menyebut beberapa nama, antaranya Winston Churchil, Abraham Linclon dan Hitler yang merupakan peminat sejarah dan fasih dalam sepak terajang sejarah dunia.

Buku ini terdiri dari 17 bab setebal 227 halaman. Walau pun bersifat sejarah, tulisan beliau tidaklah terlalu teknikal dan berbentuk ilmiah sebaliknya Cik Srikandi mengadunkan fakta dalam bentuk cerita dengan gaya seorang penglipur lara, mengadun perasaan cemas, kejutan, kegembiraan, ketakutan dan teka teki yang membuatkan pembaca seperti menonton sebuah cereka.

Cik Srikandi banyak menempelak individu yang mengkesampingkan kepentingan sejarah dalam kehidupan masyarakat moden. Ini termasuklah silibus dalam mata pelajaran sejarah yang dilihatnya tidak telus dalam bercerita mengenai sejarah Melayu sehingga dilihat seolah-olah sejarah Malaysia adalah berkisar kepada peperangan dan kekalahan. Maka tidak hairanlah pada beberapa bab awal, beliau banyak menekankan kepentingan sejarah serta akibat dari penyakit buta sejarah yang boleh memberi kesan kepada politik dan jati diri bangsa.

Beliau mengakui sekarang membuat penyelidikan dengan pengkhususan dalam hubungan antara Melayu dan Khmer serta “hubungan bangsa Melayu dengan kaum-kaum bukan serumpun (non-Austronesia) yang lain seperti Thai, Burma dan Dai Viet di Asia Tenggara (hlm 115)”. Oleh itu, beliau banyak melihat kepada beberapa binaan besar yang terdapat di alam Melayu misalnya candi Borobudur dan Angkor Wat yang menurutnya dibina oleh raja-raja Melayu. “Sebagaimana para ahli arkeologi Indonesia dan Kemboja, saya juga dapat merasakan ada kaitan yang misteri antara Borobudur dan Angkor Wat. Apabila saya membaca dan membaca bagaimana keturunan Srivijaya (tradisi Khmer menyebutnya sebagai ‘Melayu’) dalam salasilah istana Angkor, saya baru menyedari tangan-tangan misteri yang membina Borobudur adalah tangan yang sama mewarnai Angkor Wat! (hlm 18)”

Beliau mahu zaman Melayu sebelum kedatangan Islam dikaji kepentingannya kerana banyak kesan besar oleh tamadun Melayu terpahat sebelum Islam yang selama ini dipandang sebagai warisan tamadun Hindu-Buddha atau dari India. Ini kerana kita tidak tahu bahawa “tamadun India yang menterjemah kitab-kitab falsafah Jawa dan Melayu sebagaimana tamadun Cina yang menterjemah karya-karya sarjana Funan dan Champa (hlm 22)”,

Comments

comments

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

This blog is kept spam free by WP-SpamFree.