Forum Novel dan Pembangunan

nenek

Oleh Dinsman

Artikel asal dalam Detikdaily.net

Siapa kata pembangunan negara itu hak milik kerajaan dan pemimpin politik yang berkuasa bersama para kapitalis sahaja?Seniman Paksi Rakyat (Paksi) nyata tidak bersetuju dengan pandangan itu. Pembangunan negara dan masyarakat adalah hak milik semua orang yang menjadi rakyat negara berkenaan. Tetapi apakah realitinya demikian?

Realitinya, atau dalam praktisnya tidaklah pula demikian. Bunyi slogannya sahaja “Rakyat Didahulukan” (slogan Barisan Nasional (BN)) misalnya, tetapi dalam praktisnya rakyat bukan sahaja tidak pernah didahulukan, malah rakyat selalu dipergunakan, diperbodoh, ditipu dan malah dirampas-dirompak hak mereka. Paksi adalah kelompok seniman-budayawan yang peka dengan masalah pembangunan. Oktober 2014 misalnya Paksi pernah menganjurkan Seminar Konflik Pembangunan, yang di antara panel pembicaranya Prof Emeritus Shaharir Md Zain, dengan wacananya “Senang-Lenang dan Berlinangnya Pembangunan”.

Apa yang dimaksudkan Prof Shaharir dalam wacananya yang berjudul seperti ayat sastera itu ialah hal ehwal pembangunan di negara ini yang, katanya, “melahirkan kekayaan individu yang bersenang-lenang dan seterusnya akaun kekayaan negara yang melonjak, tetapi semakin besarlah pula rakyat yang berlinangan kesedihan nasibnya akibat terpinggir dan dipinggiri arus pembangunan sebegini.”

Seorang penulis dalam saf kepimpinan Paksi, Razali Endun, sudah lama memerhati keadaan pincang dan ‘fasad’ dalam praktis pembangunan di negara ini, khususnya di negeri kelahirannya Melaka, lalu mencanai persoalan tersebut dan mengolahnya ke dalam bentuk sebuah novel yang diberinya judul ‘Nenek’.

Novel, seperti kita maklum, bukanlah sekadar bacaan hiburan. Novel adalah bacaan yang berbicara mengenai masalah zamannya.

Novel juga sebuah wacana atau dialog berkesan, membincangkan permasalahan semasa masyarakatnya dalam bentuk yang kreatif; dan oleh itu mencakupi ruang yang lebih luas, terperinci dan menyentuh jiwa kehidupan.

Melalui ‘Nenek’ misalnya kita boleh melihat bagaimana mekanisme kapitalisme berlangsung. Datuk Siew Mang Kang pemilik sebuah syarikat pemaju hartanah, adalah seorang kapitalis.

Dia pandai menggunakan pengaruh dan kuasa seorang tan sri, untuk merasuah seorang ketua kerani Pejabat Tanah, supaya memproses penukaran status sebidang tanah rizab Melayu, kepada status komersil.

Tan sri itu juga berpengaruh dan berjaya merasuah pihak exco kerajaan negeri, dengan caranya yang licik tentunya, untuk bersetuju meluluskan permohonan syarikat Siew (yang dia dilantik menjadi pengerusinya).

Di peringkat yang lebih atas pula sudah tersedia Akta Tanah, yang memihak kepada kapitalis, walaupun akan merampas hak rakyat.

Ini semua adalah mekanisme kapitalisme yang sudah menyerap di dalam amalan masyarakat kita, yang kebanyakan kita tidak menyedarinya.

Saya pernah bicara mengenai novel Razali yang ke-10 ini (novel pertamanya ‘Perpindahan’, 2003), di ruangan ini, tak lama selepas ia diterbitkan. Dalam esei bertajuk “Nenek novel yang berbicara masalah zamannya” (14 November 2014), antara lain saya katakan:

“‘Nenek’ bukan sahaja menjadi karya Razali yang terbaik sehingga kini, malah ia juga menimbulkan persoalan apakah salahnya kalau novel ini dianggap antara novel kita yang penting (terbaik?) dalam tahun-tahun mutakhir?”

Mengapa saya katakan novel ‘Nenek’ penting? Kerana ia “berjaya mengungkap satu persoalan besar dalam masyarakat kita hari ini, iaitu persoalan konflik pembangunan.”

Memang Razali tidak mengungkapkan persoalan konflik pembangunan itu secara menyeluruh mencakupi segala bidang yang dilaksanakan dalam masyarakat membangun.

Razali hanya memfokus satu bidang sahaja, dan bidang itu ialah antara yang penting dalam kehidupan masyarakat kita hari ini.

Zaman sekarang, di negara kita, ialah zaman pembangunan. Zaman negara sedang pesat membangun.

Segolongan rakyat sedang berusaha keras mengaut keuntungan material daripada pelbagai peluang yang terbit dari rancangan pembangunan, manakala sebahagian lagi rakyat, yang lebih besar jumlahnya, sedang mengalami kesempitan dan keperitan hidup akibat daripada rancangan yang sama, iaitu pembangunan.

Kenapa terjadi begitu? Kenapa pembangunan lebih banyak membawa kemudaratan kepada rakyat, berbanding dengan kebaikan yang dibawanya?

Orang selalu mengatakan sebabnya ialah kerana berlaku penyelewengan dan salah guna kuasa. Tetapi bagaimanakah berlakunya penyelewengan dan salah guna kuasa itu? Kenapa ia berlaku dan kenapa ia tidak dihalang daripada berlaku?

Itulah persoalan yang sering mengganggu fikiran golongan yang prihatin mengenainya, dan itulah pula persoalan yang digarap Razali di dalam novelnya ini.

Maka bolehlah kita dapatkan jawapan dan huraiannya, mengapa dan bagaimana terjadinya konflik pembangunan di negara kita, melalui novel ini.

Walaupun saya pernah mengatakan “apakah salahnya kalau novel ini dianggap antara novel kita yang penting (terbaik?) dalam tahun-tahun mutakhir”, namun saya jadi terkejut juga apabila Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia mengangkat novel ini sebagai novel Malaysia terbaik 2014 (daripada 44 buah novel 2014 yang dinilai).

Sebab apa saya terkejut? Sebab mengikut kebiasaan pada tahun-tahun sebelum ini, novel yang seperti ‘Nenek’ ini tidak akan dipilih untuk diberi Hadiah Sastera Perdana Malaysia. Seperti ‘Nenek’ maksudnya novel yang bercerita mengenai hal-hal yang mengkritik pihak berkuasa, dan yang mendedahkan salah laku pihak berkuasa.

Memang kemenangan novel ini menimbulkan tanda tanya di kalangan masyarakat penulis dan sastera. Terdapat novel hasil karya penulis lain yang lebih terkenal tetapi tidak dipilih.

Mengapakah demikian? Apakah sudah berlaku perubahan sikap dan nilai di kalangan panel yang terdiri daripada tokoh akademik di bidang sastera kita?

Paksi teruja dengan kemungkinan berlaku perubahan sikap dan nilai tersebut, walau apa pun faktor dan alasannya.

Pada 30 Januari ini (Sabtu) Paksi menganjurkan satu forum yang diberi nama ‘Forum Novel dan Pembangunan’.

Tujuannya untuk melihat persoalan dan masalah pembangunan di negara ini melalui karya sastera, yakni novel ‘Nenek’, yang dihasilkan individu pengarang yang mengalami sendiri persoalan pembangunan itu, dalam masyarakatnya.

Tiga orang pembicara yang akan menjayakan forum ini ialah Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi (Universiti Malaya), Dr Mohd Nasir Hashim (PSM) dan saya sendiri.

Tidak pasti apakah forum seumpama ini pernah diadakan dalam masyarakat sastera kita atau tidak. Iaitu mengambil karya sastera untuk melihat permasalahan masyarakat.

Mungkin ada yang akan bertanya dengan sinis, apakah seorang sasterawan mampu memahami permasalahan masyarakatnya, apatah lagi permasalahan pembangunan negara?

Kepada yang sinis bertanya itu saya minta mereka supaya baca novel ‘Nenek’. Sebuah novel yang sederhana saja tebalnya, 232 muka surat, terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM). Penceritaannya lancar. Boleh habis baca dalam masa sekejap sahaja.

Bacalahndan pada 30 Januari marilah hadiri forumnya, di Madrasah Tarbiyah (Madrasah Seni), Jalan Gombak, Kuala Lumpur. Forum terbuka percuma kepada orang ramai.

Comments

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

This blog is kept spam free by WP-SpamFree.