Keajaiban Haiwan Yang Mengubah Dunia

Keajaiban-Haiwan-Yang-Mengubah-Dunia_l
Oleh: Azni binti Abdul Aziz

Walau apa sekalipun, kita perlu belajar menelan segala rasa megah diri dan mula mengakui yang haiwan banyak mengajar kita dalam hal-hal kehidupan” – perintis zoopharmacognosy, Richard Wrangham, Michael Huffman, Karen Strier dan Eloy Rodriguez.

Secara asasnya, ungkapan ini dapat menggambarkan keseluruhan apa yang ingin disampaikan oleh penulis dalam buku setebal 242 halaman ini. Buku ini juga mencatatkan hasil penyelidikan penulis, Prof. Madya Dr. Umi Kalthum Ngah bersama Dr. Zulkifli Zainal Abidin yang telah diolah dan disampaikan dalam bentuk yang menarik dan mudah difahami.

Bab satu dalam buku ini mempersembahkan bagaimana alam mampu menjadi guru terbaik untuk manusia dalam memperbaiki kehidupan. Keunikan ciptaan segala jenis haiwan didapati mempunyai fungsi dan kelebihan tersendiri yang dapat memberi ilham kepada manusia untuk mencipta sesuatu berasaskan sifat-sifat istimewa yang dimiliki oleh haiwan tersebut. Dari sekecil-kecil semut sehingga sebesar-besar ikan paus, haiwan-haiwan ini seolah-olah memiliki “teknologi” semula jadi tersendiri untuk meneruskan kehidupan mereka. Keistimewaan ciri-ciri haiwan yang dicipta Allah SWT tidaklah dijadikan dengan sia-sia melainkan dengan tujuan agar manusia mengambil manfaat daripadanya untuk diaplikasikan dalam pelbagai urusan manusia.

Dari kebijaksanaan burung yang berhijrah sejauh 1000 batu untuk kembali ke sarang asal tanpa tersesat, anak-anak belut yang mampu merentas lautan kembai ke tempat asal-usul ibunya sama ada ke benua Amerika atau Eropah tanpa tertukar arah, kepintaran labah-labah membina sistem untuk memelihara telurnya dan banyak lagi kehebatan pelbagai jenis haiwan yang didedahkan dalam buku ini akan membuatkan kita merasa kerdilnya diri sebagai manusia.

Melihat keunikan yang ada pada pelbagai jenis haiwan ini memberi ilham kepada manusia untuk mengaplikasikan ciri-ciri tersebut agar dapat digunakan dalam kehidupan manusia. Buku ini menerangkan bagaimana sewal zaman kegemilangan Islam, para saintis muslim sudah mula untuk menghasilkan sesuatu berilhamkan kelebihan haiwan. Contohnya membuat cubaan untuk terbang dengan melihat ciri-ciri yang ada pada burung. Akhirnya, sehingga kini, dengan perkembangan sains dan teknologi, pelbagai lagi keunikan haiwan dapat dibongkarkan dan memberi inspirasi kepada manusia untuk menghasilkan pelbagai ciptaan berasaskan sifat-sifat unik yang ada pada haiwan. Teknologi seumpama ini kemudiannya dinamakan biomimikri. Pelbagai jenis teknologi dan ciptaan yang berilhamkan haiwan diterangkan dalam bab dua seperti contoh, teknologi IMOD (interferometric modulation) untuk paparan skrin gajet elektronik diilhamkan daripada ciri-ciri yang ada pada sayap rama-rama. Sifat-sifat istimewa haiwan juga dijadikan ilham dalam membina struktur bangunan seperti Stadium Sarang Burung, Beijing dan pelbagai jenis ciptaan lagi yang akan menarik perhatian pembaca buku ini.

Metodologi dan hasil penyelidikan penulis dihuraikan dalam bab tiga dan empat. Kedua-dua bab ini lebih bersifat teknikal namun usaha penulis untuk menyampaikan dalam bahasa yang mudah difahami oleh orang awam harus dipuji. Sememangnya, inilah cabaran besar yang perlu dihadapi oleh para penyelidik iaitu untuk menyampaikan dan memberi penerangan tentang penyelidkan mereka dalam laras bahasa orang awam. Mengaplikasikan teknologi biomimikri, penulis telah berjaya merekabentuk robot yang diinspirasikan daripada ciri-ciri istimewa tertentu lalat buah.

Sebagai penutup buku ini, penulis membawa pembaca untuk mencontohi kehebatan para ilmuwan Islam terdahulu yang telah mempelopori bidang sains dan teknologi untuk membawa kemajuan serta mencapai tahap ketamadunan yang tinggi pada masa tersebut. Penulis juga menyeru masyarakat khususnya muslim pada masa kini agar dapat sama-sama kembali menyuburkan sifat cintakan ilmu dan mengulangi semula kecemerlangan ilmuwan Islam zaman silam untuk kesejahteraan hidup pada masa kini.

Comments

comments

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

This blog is kept spam free by WP-SpamFree.