Memoir Pak Mail: Tenggelamnya Kapal KD Sri Perak

KD Sri Perak
Penerbitan berbentuk memoir atau catatan kehidupan merupakan satu genre yang jarang sekali disentuh. Kebiasaannya memoir ditulis oleh mereka yang berpengaruh atau mempunyai kedudukan dalam dunia politik atau kepimpinan. Jarang sekali dapat kita membaca memoir yang bukan dari kedua-dua bidang tersebut.

Penerbitan Memoir Pak Mail: Tenggelamnya Kapal KD Sri Perak dianggap sebagai satu usaha memecahkan dikotomi ini menjadikan ia sebuah buku yang unik. Memoir ini ditulis dan diterbitkan sendiri oleh Ismail Abdul Aziz yang pernah berkhidmat bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selama 13 tahun, tentang pengalaman beliau sebagai seorang laskar sejak dari proses temuduga sehingga bersara dari perkhidmatan. Namun yang menarik sepanjang perkhidmatan beliau ialah apabila menjadi salah seorang dari 29 krew kapal KD Sri Perak yang tenggelam di Laut China Selatan pada 8 Januari 1984. Kehilangan kapal ini merupakan satu kerugian besar kepada TLDM dan menyebabkan tiga anak kapalnya hilang hingga kini.

Pak Mail memulakan cerita dengan permintaan seorang rakannya yang pernah sama-sama berkhidmat dahulu untuk menjadi ‘anak kapal’ bagi menghantar sebuah kapal layar dari Kuala Terengganu ke Langkawi pada awal tahun 2015. Dalam masa bercerita tentang aktivitinya di atas kapal layar, Pak Mail menyelitkan pengalaman yang dilalui sebagai seorang laskar. Cara penceritaan menggunakan plot jungkir balik ini mendatangkan debaran kepada pembaca yang sentiasa tertanya-tanya dan ternanti-nanti akan plot seterusnya.

KD Sri Perak merupakan sebuah kapal yang dikelaskan sebagai bot peronda, berukuran 100 kaki panjang dan 20 kaki lebar dan dibina pada 1963. Ketika tenggelam, KD Sri Perak telah berusia hampir 20 tahun. Selepas diselenggara di Lumut, KD Sri Perak diperintah untuk belayar ke Labuan bersama-sama KD Hang Tuah dan KD Sri Terengganu pada 6 Januari 1984. Akibat dari badai yang kuat melanda, KD Sri Perak digenangi air dan tenggelam perlahan-lahan. Anak-anak kapalnya berjaya menaiki sebuah pelampung keselamatan manakala tiga lagi hilang. Selepas tiga hari di lautan, mereka akhirnya ditemui dalam misi menyelamat dan dibawa pulang oleh sebuah kapal dagang, MV Thunderhead yang berada dilokasi berdekatan.

Cerita yang Pak Mail perturunkan khususnya pengalaman beliau dalam bidang operator radio atau komunikasi amat berguna kepada mereka yang ingin mengetahui profesyen sebagai seorang tentera laut yang bukan sahaja bertugas mengendalikan kapal tetapi juga lain-lain tugas yang seumpamanya di atas kapal. Tambahan pula keberanian Pak Mail memperturunkan kisah sebenar di sebalik tenggelamnya KD Sri Perak adalah satu usaha penting sebagai satu sumber rujukan dari pihak yang terlibat secara langsung dalam tragedi ini. Malah ia berguna kepada orang awam untuk mengetahui bagaimana kapal yang banyak berbakti kepada negara ini boleh tenggelam dan sekaligus menjadi satu peristiwa penting dalam sejarah TLDM.

Peristiwa ini hampir dilupakan dan sangat berguna untuk diangkat kembali sebagai pengajaran meski pun mendedahkan banyak kelemahan akibat dari selenggaraan kapal yang tidak memuaskan sehingga memberi kesan yang buruk kepada negara.

Comments

comments

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

This blog is kept spam free by WP-SpamFree.