Novel Pantai Kasih Tidak Sesuai Jadi Teks KOMSAS SPM

17

Kebelakangan ini heboh di media sosial tentang novel ‘Pantai Kasih’ karya Azmah Nordin yang juga penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) yang dikatakan tidak sesuai dijadikan teks Komponen Sastera (KOMSAS),SPM.

Oleh Latifah Arifin, Siti Haliza Yusop dan Sarah Aina Shawal

Pensyarah pendidikan serta guru menyifatkan pemilihan novel Pantai Kasih menjadi Komponen Sastera (KOMSAS) dalam mata pelajaran Bahasa Melayu tingkatan 4 tidak sesuai sebagai teks di sekolah kerana di dakwa ada nilai negatif dan lebih berkonsepkan novel popular.

Mereka sependapat dengan komen-komen di media sosial yang menyatakan novel itu kurang menepati matlamat KOMSAS Sijil Pelajaran Malaysia, iaitu membentuk pembangunan diri dan memupuk nilai murni di kalangan pelajar.

Pensyarah kanan di Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu UPSI, Dr. Naffi Mat berkata, hasrat pelaksanaan KOMSAS untuk memartabatkan sastera tanah air tidak akan tercapai jika karya terpilih tidak mencerminkan ketinggian nilainya.

AzmahNordin                                                          Azmah Nordin

“Pengalaman saya sebagai panel pemilihan awal teks KOMSAS yang dilantik oleh Pusat Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pendidikan mendapati banyak karya sastera bermutu tinggi tidak dicalonkan untuk penilaian.

“Justeru, kementerian perlu lebih serius mendapatkan karya yang baik antaranya mendapatkan kerjasama daripada institusi termasuk DBP, ITBM dan penerbit lain untuk menghantar naskhah bagi penilaian KOMSAS,” katanya.

Ambil kira pelbagai faktor

Pengarang yang juga Ahli Jawatankuasa Penulis Muda Nasional (PENA), Muhammad Lutfi Ishak, berkata pemilihan karya KOMSAS, perlu mengambil kira faktor penulis, penerbit dan penilai, manakala teksnya pula perlu mewakili sastera kebangsaan serta menggambarkan wajah persuratan tanah air yang bermula seawal abad ke-16 hingga ke -21.

“Saya fikir hal itu tidak akan berlaku jika kita melaksanakan perkara yang saya utarakan berkenaan. Penulis novel itu, Azmah Nordin ialah novelis besar tetapi saya sendiri hairan mengapa novel itu dipilih sedangkan masih banyak karyanya yang lain termasuk terbitan DBP diakui berkualiti tetapi tidak dipilih.

“Sebab itu, saya mencadangkan latarbelakang penerbit juga diambil kira dan jika ada aspek tertentu yang tidak sesuai dengan pelajar maka perkenalkan versi teksnya yang dipermudahkan atau dimurnikan,” katanya.

Seorang guru yang enggan namanya disiarkan, berkata walaupun menggunakan gaya bahasa yang baik, beberapa aspek seperti personaliti dan sikap ditonjolkan oleh watak utama tidak memberi contoh teladan yang baik kepada pelajar.

“Novel ini daripada konteks kesusasteraan boleh dilihat dari sudut positif, namun paparan beberapa elemen negatif dianggap kurang bersesuan dengan konsep pembangunan sahsiah diri khususnya remaja.

“Beberapa unsur seperi kehadiran anak luar nikah dan sikap watak utama yang sering bertukar pasangan, selain berkunjung ke kelab malam bukanlah gambaran personaliti yang boleh dicontohi pelajar,” katanya.

Seorang lagi guru Bahasa Melayu yang juga enggan disiarkan nama, berkata perwatakan negatif yang ditonjolkan dalam watak utama juga boleh menjejaskan profesion kedoktoran.

“Kesan pembacaan novel ini dilihat boleh memberi tanggapan negatif kepada kerjaya kedoktoran, iaitu bidang kerjaya profesional yang dihormati, apatah lagi jika dibaca oleh golongan muda terutamanya remaja,” katanya.

Isu masih dalam penelitian

Sementara itu, Azmah Nordin ketika dihubungi meminta media menunggu maklum balas daripada kementerian Pendidikan. Usaha untuk mendapatkan maklumbalas Kementerian Pendidikan tidak berhasil tetapi sumber Bahagian Buku Teks memaklumkan, isu itu sudah diambil perhatian kementerian berkenaan dan dalam penelitian lanjut.

Polemik novel itu timbul apabila komen pendidik dan pengguna media sosial yang mempersoalkan pemilihan naskhah yang berkisar profesion doktor dan jururawat di sebuah hospital swasta yang dikatakan kurang nilai moral dan mempunyai jalan cerita agak ringan itu, menjadi viral sejak Isnin lalu.

Novel Pantai Kasih mula digunakan pada tahun lalu untuk Zon 3, iaitu Melaka, Pahang, kelantan dan Terengganu.

SUMBER – Berita Harian

Comments

comments

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

This blog is kept spam free by WP-SpamFree.