Quantum Man: Richard Feynman’s Life in Science

Quantum_Man
Oleh : Mohd Faizal Aziz

Richard Feynman merupakan saintis yang sangat berpengaruh di abad ke-20 dan beliau tergolong sebagai personaliti terbilang dan terkenal dalam kategori sains.

Feynman mula mendapat perhatian apabila dipilih sebagai salah seorang saintis termuda untuk berkhidmat dalam Projek Manhattan (Projek Rahsia Bom Atom Pertama Amerika). Beliau ditugaskan untuk mengira magnitud ledakan bom atom yang bakal dihasilkan.

Di sana gelagat beliau yang nakal suka mengusik dan bergurau membuatkan ramai teman-teman yang lain bingung dengan Feynman. Walaubagaimanapun, perilakunya yang pelik seperti bermain bongo di waktu malam di dalam kegelapan gurun di New Mexico, tempat rahsia di mana Projek Manhattan dijalankan, membuka kod rahsia kunci peralatan dan menulis kod-kod rahsia bersama isterinya Arline akhirnya dapat dihidu oleh pihak pengurusan.

Selepas 2 tahun perkahwinannya yang pertama dengan Arline, wanita yang paling dikasihinya itu meninggal dunia akibat tuberculosis. Bagi menghilangkan kerinduannya kepada mendiang Arline, Feynman menumpukan perhatiannya pada kerja yang ditugaskan kepada beliau di samping mula berkenalan dengan ramai gadis-gadis lain sebagai penghibur dirinya yang kesedihan.

Ketika berusia 31 tahun, pertama kali beliau meninggalkan Amerika Syarikat menerima jemputan sebagai Profesor pelawat di Centro Brasiliero de Pesquisas Friscas, di Rio de Jeneiro, Brazil. Pada waktu lapang Feynman sering menghabiskan masanya bermain bongo bersama teman-teman dan bersosial dengan wanita-wanita di bar dan kelab malam. Tabiat tersebut tidak menganggu tumpuannya mendalami bidang fizik dan matematik yang paling diminatinya sejak dari kecil.

Feynman berkahwin untuk kali kedua dengan Mary Louise Bell, seorang ‘wanita berambut perang yang seksi dan menawan’ menurut penulis buku ini Lawrence Krauss. Mereka berkahwin pada tahun 1952 dan kemudian bercerai tidak lama kemudian akibat kurang persefahaman. Menurut Krauss, wanita yang dikahwini Feynman selalu merungut apabila dia mula menunjukkan tabiat aneh seperti menyelesaikan kalkulus dan masalah-masalah fizik serta matematik apabila bangun dari tidur, semasa memandu kenderaan, ketika berehat dan juga di bilik tidur. Alasan itu dikemukakan kepada peguam semasa memohon perceraian.

Menurut Krauss lagi, keadaan itu tidak menghairankan kerana selain meminati wanita, Feynman juga seorang peminat angka dan persamaan. Jelasnya lagi, kegilaan dan kecerdasan Feynman yang mengkagumkan dalam matematik  membolehkannya menyelesaikan permasalahan matematik-fizik yang juga memberi sumbangan dalam bidang perkomputeran moden di peringkat awal kemunculannya. Sumbangan-sumbangan Feynman juga sangat berguna dalam projek menghasilkan bom atom dan sumbangan yang paling bermakna ialah dalam bidang kuantum elektrodinamik. Satu bidang fizik yang menerangkan bagaimana cahaya dan jirim berinteraksi. Sumbangan terbesar itulah yang membolehkan beliau dianugerahkan Hadiah Nobel Fizik pada tahun 1965 yang dikongsi bersama dengan Sin Itiro Tomonaga dan Julian Schwinger.

Sejak dari itu, Feyman mula berubah daripada seorang yang gemar bersosial dengan wanita kepada seorang suami penyayang terhadap isteri terbarunya yang kekal sehingga akhir hayat Gweneth Howarth dan bapa kepada anak lelakinya Carl dan anak perempuan angkat Michelle.

Feyman juga memberi sumbangan penting dalam bidang kuantum komputer dan memperkenalkan idea nanoteknologi melalui satu kertas kerja pembentanganya berjudul “There’ Plenty of Room at the Bottom” yang begitu terkenal. Selain itu banyak buku-buku tentang dirinya ditulis seperti Surely You’re Joking Mr. Feynman, The Pleasure of Finding Things Out, Genius : The Life and Science of Richard Feynman dan lain-lain. Bagi pelajar bidang fizik, 3 jilid buku teks hasil syarahannya dalam bidang fizik yang dibukukan dan diberi judul Feynman Lecture in Physics menjadi buku rujukan utama.

Menurut Lawrence Krauss, selain kecerdasan dan keunikan watak Feynman, beliau juga seorang yang pintar dan cekap berbahas serta memberi syarahan. Kemahirannya memberikan syarahan mampu memukau sesiapa sahaja yang mendengar syarahannya baik di atas podium mahupun di dalam kuliah fizik. (Nota MajalahSains: Kuliah-kuliah Feynman sebahagiannya kini boleh dilayari di YouTube)

Sumbangannya yang terakhir ialah apabila beliau dilantik sebagai salah seorang ahli komiti Rogers Commision yang menyiasat punca malapetaka letupan kapal angkasa Challenger pada tahun 1986. Sebagai seorang saintis fizik tulen, Feyman memberikan kritikan terhadap NASA tentang kegagalan badan itu menitikberatkan soal keselamatan manusia terlebih dahulu berbanding dengan teknologi yang dimiliki mereka. Kata-kata Feyman yang terkenal semasa membentangkan kajian kes itu ialah “ for a successful technology, reality must take precedence over public relations, for nature cannot be fooled”.

Feynman meninggal dunia akibat kanser pada tahun 1988 ketika usia 69 tahun. Beliau amat membenci kematian. “Ia sangat membosankan” ujar Feynman menurut Krauss seperti yang ditulis dalam Quantum Man. 

Feynman dikenang sebagai seorang yang berwatakan hebat, seorang saintis dan kehidupannya yang penuh warna warni. Walaubagaimanapun, menurut Stephen Wolfram (matematikawan British dan pencipta Wolfram Mathematica) Feynman merupakan manusia kalkulator terhebat yang pernah dilahirkan.

Menurut Wolfram, apabila menyelesaikan permasalahan matematik, Feyman akan menulis persamaan-persamaan di atas kertas, selepas mendapat jawapan yang betul, beliau akan kembali menyemak dan menyoal kenapa jawapan tersebut begitu jelas dan mudah untuk diselsaikan. Kebiasaannya Feynman akan menghitung persamaan matematik di dalam bar dan kelab-kelab malam yang dilawatinya atau tempat di mana gadis-gadis selalu berkumpul untuk meningkatkan daya fokusnya menyelesaikan masalah.

Membaca Quantum Man, biografi terbaru hasil karya Lawrence M. Krauss yang juga seorang ahli fizik teori dari Arizona State University kerap kali terganggu dengan penjelasan-penjelasan saintifik dan diagram fizik yang agak berat untuk dihadam oleh pembaca awam. Namun, keadaan itu tidak membantut pembaca untuk menamatkan pembacaan kerana selang satu muka surat dan di setiap bab-bab kecil akan dimuatkan kisah-kisah mengkagumkan tentang seorang saintis terhebat abad ke 20 Richard Phillips Feynman.

Comments

comments

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

This blog is kept spam free by WP-SpamFree.