Royal Professor Ungku A. Aziz: the Renaissance Man

ungkuaziz

Buku ini mengupas tentang jasa-jasa besar Profesor Diraja Ungku Aziz kepada pembangunan negara dalam dekad terawal selepas kemerdekaan dari kacamata tokoh-tokoh yang mengenalinya secara peribadi.

Dalam kapasitinya sebagai intelektual pentadbir Universiti Malaya (bekas Naib Canselor) beliau mampu membawa perubahan nyata di dalam mahupun luar pagar akademik.

Kita sudah biasa mendengar mengenai jasanya dalam penubuhan Tabung Haji dan Angkasa demi membantu ekonomi Melayu, tetapi masih banyak lagi sisi lain jasa beliau dikupas melalui buku ini.

Bentuk Universiti Malaya pada hari ini dengan wujudnya Pusat Asasi Sains, Ambang Asuhan Jepun, Muzium Seni Asia dan Rimba Ilmu sebagai ‘green lungs’ universiti, semuanya kerana peranan beliau.

Namun salah satu yang paling besar adalah jasanya dalam mengukuhkan peranan bahasa Melayu di peringkat pengajian tinggi dan juga melalui Dewan Bahasa dan Pustaka.

Pandangan-pandangan beliau selalu tepat dan berwawasan, melihat jauh ke hadapan sebelum sesuatu masalah itu berlaku.

Lama sebelum isu mutu pendidikan universiti menjadi sebesar sekarang, beliau telah memberi pandangannya bahawa penubuhan “more universities will mean lower standards.” Kita boleh melihat sekarang mutu siswazah tempatan yang dilahirkan selalu dipersoalkan dalam media-media utama.

Ketika negara menghadapi krisis ekonomi, beliau memegang pandangan yang tidak popular dalam mentadbir jabatan perpustakaan, jika dibanding dengan suasana sekarang.

Menurut beliau, dalam masalah bajet universiti, perpustakaan patut menjadi jabatan terakhir sekali yang harus menghadapi pemotongan belanjawan. Ini kerana bahan-bahan penyelidikan adalah begitu penting untuk perkembangan kesarjanaan.

Beliau juga seorang yang mantap dalam perencanaan sesuatu, tidak melakukan sesuatu sebelum ada persediaan yang cukup.

Proses peralihan mengajar dari BI ke BM di fakulti-fakulti UM dilakukan secara bertahap supaya hasilnya tercapai dan tidak mendapat tentangan daripada pihak-pihak yang acuh tidak acuh terhadap kepentingan BM dalam meningkatkan ekonomi Bumiputera.

Usaha beliau meletakkan bahasa Melayu setanding dengan bahasa ilmu lain, mampu mengalirkan air mata dalam Bab 8 buku ini. Jerih-payah pembinaan bahasa untuk membolehkan anak bangsa mendongakkan kepala duduk sama tinggi dengan bangsa lain dalam negara ini wajar menjadi azimat bagi anak muda untuk terus mempertahankan bahasa kita sebagai bahasa ilmu tinggi.

Tidak hairan jika beliau turut menentang PPSMI, sehingga beliau pernah menyebut bahawa ia adalah suatu polisi yang ‘gila’. Ini kerana kedudukan bahasa Melayu dalam ilmu telah terbukti mampu membawa perubahan baik kepada ekonomi dan pendidikan orang Melayu.

Usaha mencantas bahasa ini sebenarnya akan mengembalikan ekonomi orang Melayu luar bandar kepada keadaan tersisih sebelum merdeka.

Dalam hal menghadapi persoalan migrasi wanita desa ke bandar untuk memenuhi sektor perkilangan pada tahun 1980-an, beliau mengarahkan kajian-kajian sosioekonomi dilakukan supaya saranan yang berkesan dapat diberikan secepat mungkin untuk mengimbangi kesan-kesan negatif daripadanya.

Kajian-kajian ini juga memperlihatkan keprihatinan beliau terhadap isu-isu wanita, begitu juga penubuhan Angkasa yang banyak memanfaatkan kaum perempuan.

Kebesaran pemikiran beliau ternyata kerana sentiasa bertemankan buku-buku. Antara buku-buku yang meninggalkan kesan mendalam kepadanya adalah Mukadimah Ibn Khaldun, Rubaiyat Umar Khayyam, Alice in Wonderland, buku-buku al-Ghazali, Rumi, Edward de Bono dan Sigmund Freud.

Kehebatan beliau bagaimanapun tidak pernah menjadikan beliau seorang yang berlebihan dalam menikmati kehidupan. Beliau lebih kerap memakai baju kemeja putih sahaja ketika menjadi Naib Canselor dahulu. Beliau juga seorang yang sangat sederhana.

Menurut Abu Bakar Abdul Hamid dan KT Joseph, ada satu peristiwa yang begitu menggambarkan kesederhanaan beliau:

“Ungku Aziz is a very frugal man. Visit the Vice Chancellor’s room at the University of Malaya in his glorious days, and you would get the ambience of frugality…. There is a story of three professors who came to see him to ask for carpets in their room in accordance with their designation as superscale D and C officers. When they entered Ungku’s room they realized that it was unlikely that their request would be granted.

Usaha memartabatkan jasa-jasa Profesor Diraja Ungku Aziz dalam buku ini perlu diterjemahkan oleh anak muda dan pembaca semua sebagai satu panggilan untuk menjadikan dirinya sebagai kayu ukur dalam memberi khidmat kepada bangsa kita ini. Kesederhanaan beliau harus dijadikan teladan terutama bagi mereka yang berada dalam dunia ilmu. Buku ini juga patut menjadi satu refleksi kepada arah tuju negara kita sekarang dalam pembangunan.

Namun satu pertanyaan timbul di benak sepanjang membaca buku ini. Mungkinkah pandangan beliau satu masa dahulu lebih didengari dan ditimbang berat oleh kerajaan kerana beliau adalah salah seorang dari kumpulan elit itu sendiri? Sudah tentu lebih mudah untuk seekor burung terbang sekawanan dengan kelompoknya. Ada disebutkan dalam buku ini “throughout his tenure he was never in serious conflict with the government bureaucrats.

Apakah rakyat Malaysia perlu menunggu muncul seorang elit intelektual sepertinya, sebelum dapat menikmati kejujuran yang lebih bererti dari birokrat pemerintah dalam keadaan setenat hari ini? Sebuah Renaisans di Malaysia harus sentiasa bersifat elitis?

—————————-

Hashim Yaacob, Abu Bakar Abd. Hamid, KT Joseph, Azizah Hamzah (Eds.). (2010). Royal Professor Ungku A. Aziz: The Renaissance Man. Kuala Lumpur: Universiti Malaya Press. 248 halaman.

Comments

comments

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

This blog is kept spam free by WP-SpamFree.