Ulasan Buku : The Grand Design

ulasan-buku-stephen-hawking

‘The Grand Design‘ ditulis oleh ahli kosmologis Inggeris terkemuka iaitu Stephen Hawking bersama-sama dengan fizikawan Amerika, Leonard Mlodinow juga pengarang bersama bagi buku A Briefer History of Time rentetan daripada buku terkenal Hawking iaitu A Brief History of Time.

Stephen_Hawking

Sedikit ringkasan tentang penulis, Stephen Hawking menjawat Kerusi Lucasian Matematik (1979-2009) yang pernah diduduki oleh Isaac Newton, Joseph Lamor dan Paul Dirac. Bidang kajian beliau lebih kepada teori gravity, kesingularan dan sinaran lohong hitam (dikenali sebagai Sinaran Hawking). Manakala Leonard Mlodinow berdarah Yahudi lebih dikenali sebagai penulis sains popular meskipun kajian beliau terarah kepada Teori Usikan (Pertubation Theory) dalam mekanik kuantum.

Buku ini terbahagi kepada lapan bab yang utama, iaitu The Mystery of Being, The Rule of Law, What is Reality?, Alternative Histories, The Theory of Everthing, Choosing Our Universe, The Apparent Miracle dan akhir sekali The Grand Design. Secara peribadinya, buku ini diwarnai dengan imej-imej yang begitu abstrak seperti pada muka depan menunjukkan imej manifold Calabi-Yau dan imej humor berunsurkan sains.

Pada awal bab, buku ini dimulakan dengan beberapa soalan falsafah iaitu, Bagaimanakah kita memahami alam semesta di mana kita berada? Bagaimanakah alam semesta ini berkelakuan? Apakah itu reality? Dari manakah semua ini datang? dan akhir sekali, soalan berbentuk ketuhanan, Adakah Alam semesta memerlukan pencipta? Soalan-soalan tersebut diulas dengan teori kuantum terkenal iaitu perjumlahan sejarah-sejarah yang mungkin, salah satu interpretasi dalam mekanik kuantum ke atas kamiran lintasan Feynmann.

Kemudian buku ini dilanjutkan dengan dongengan Viking ahli falsafah Yunani dan ceritera ahli fizik zaman Isaac Newton bagi menggambarkan ketetapan dalam meletakkan sesuatu hukum fizik. Antara puisi Alexander Pope yang mengkultuskan hasil kerja ahli fizik,

Alam semulajadi dan hukum alam bersembunyi disebalik gelap malam: 

Tuhan berkata, “Biarkan Newton lakukan dan semuanya akan dipercerahkan.

Ceritera dan dongengan dalam bab ‘The Rule of Law’ penting bagi membincangkan bab seterusnya, ‘What is Reality?‘ kerana bab ini agak lebih berfalsafah dengan membincangkan perihal falsafah nyataisme (atau realisme) dalam konteks fizik.

Interpretasi dalam mekanik kuantum yang agak terkenal iaitu Sejarah Alternatif telah menjadi satu bab khusus dalam buku ini. Sejarah Alternatif merupakan satu konsep fizik yang terbit dari kamiran lintasan Feynman, salah satu mazhab dalam mekanik kuantum disamping Tafsiran Copenhagen dan paradoks EPR. Idea ini digunakan untuk memahami eksperimen dwi-celah di mana zarah mikroskopik yang ditembak melalui dwi-celahan tersebut.

Dalam bab lima, ‘The Theory of Everything‘ iaitu disatukan kesemua hukum saintifik yang ada menjadi tunggal. Bab ini dimulai dengan kepercayaan Isaac Newton terhadap Bible ketika mengusulkan idea graviti. Kemudian dilanjutkan idea menyatukan daya elektrik dan magnet dengan menifestasi entiti fizik yang sama, medan elektromagnet, di mana agak bertentangan dengan anutan bahawa alam semesta didiami oleh jirim tekal yang tidak nampak dinama sebagai Luminferous Ether. Pada akhiran bab tersebut, dibincangkan usaha-usaha menggabungkan empat daya alam semesta yang utama iaitu, daya nuklear kuat, daya nuklear lemah, daya elektromagnetik dan daya paling lemah, daya graviti, dengan rentetan Teori Kuantum Elektrodinamik, Teori Elektrolemah dan Teori Kesatuan Gedang (Grand Unified Theories)

Jika dilihat dalam bab keenam, ‘Choosing Our Universe’ perlukan telaahan teori fizik kosmologi, jika tak, bab ini akan dibaca secara literal sahaja. Bab ini meringkaskan tentang kesingularan ketika teori deguman besar sehinggalah kepada fluktuasi kuantum yang membawa kepada perbincangan Multiverse. Tambahan pula data WMAP (Wilkinson Microwave Anisotropy Probe) pada tahun 2010 mendedahkan fluktuasi suhu (pemetaan suhu berbeza warna) yang berlaku pada 13.7 bilion tahun yang lalu.

Manakala bab ketujuh dan kelapan saya tinggalkan untuk pembaca kerana ia adalah penyudah kepada bab-bab sebelumnya. Tambahan pula, bab-bab tersebut agak berbentuk ketuhanan, kerana ia cuba menafikan peranan Tuhan dalam mencipta alam semesta ini. Buku ini dilihat mengulas soalan-soalan falsafah dalam bab satu dengan menggunakan satu teori yang menakjubkan ketika itu, iaitu Teori-M. Teori ini menyatukan kelima-lima teori tetali yang tidak tekal menjadi satu teori yang unggul.

Nota – Ulasan Buku ini ditulis oleh Mohd Faudzi Umar (Pensyarah Jabatan Fizik, Fakulti Sains & Teknologi UPSI)

Comments

comments

Mohd Faudzi Umar

Mohd Faudzi Umar adalah Pensyarah Jabatan Fizik, Fakulti Sains & Teknologi UPSI.

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

This blog is kept spam free by WP-SpamFree.